Hukuman 18 Bulan Penjara Rafizi Kekal

Diterbitkan: Rabu, 23 Ogos 2017 12:59 PM

Rafizi Ramli.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadap Anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang didapati bersalah mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan pada 14 November 2016.

Azman bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Mohd Rafizi, 40, daripada sabitan dan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam penghakimannya hakim itu berkata, hukuman 18 bulan yang dijatuhkan tidak terlalu berat selepas mengambil kira hukuman minimum bagi kesalahan itu ialah kurang daripada satu tahun dan maksimum tujuh tahun.

Azman turut membenarkan permohonan Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Mohd Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes berkenaan di Mahkamah Rayuan selesai dan mengekalkan jaminan RM20,000.

Mengikut peruntukan undang-undang Mohd Rafizi akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum kerana seseorang yang telah disabitkan dan dihukum denda RM2,000 atau penjara lebih setahun tidak boleh menjadi calon.

Pada 14 November 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.    

Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Rafizi bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama juga membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Rafizi Ramli

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan