Lelaki Edit Gambar PM Dipenjara Sehari

Diterbitkan: Khamis, 20 Julai 2017 3:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai kasut didenda RM3,500 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis kerana menghantar komunikasi jelik dengan cara mengedit gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama wanita berpakaian menjolok mata, melalui akaun Facebooknya, tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zaidi Abdullah, 40, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS),  selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini atas tiga pertuduhan.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga OKS didenda RM1,500 dan dipenjara sehari.

Hakim itu juga memerintahkan dia dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Zaidi didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Zaidi Zura' di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 4.07 pagi, 6.31 petang dan 7.35 petang pada tarikh 3, 5 dan 6 Disember  2016.

Kesemua pautan itu kemudian telah dibaca di sebuah alamat No.A-1110, Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini, pada 5 petang, 3 Januari 2017.

Zaman ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan mengambil kira permohonan maaf daripada OKS ketika menjatuhkan hukuman.

“Mahkamah juga mendapati OKS tidak mempunyai rekod lampau dan kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya,” kata hakim itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohd Sophian Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana masyarakat hari ini terutama netizen seolah-olah tidak takut kepada undang-undang.

“Hinaan yang dibuat ini kepada Perdana Menteri dan tidak boleh membuat posting yang boleh menghina jawatan tertinggi negara.

“Budaya menghina dan membuat komen-komen jelik sudah satu kebiasaan di alam maya dan tugas mahkamah adalah menjatuhkan hukuman bagi menunjukkan mahkamah serius supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Peguam Adlizan Noor, yang mewakili Muhammad Zaidi merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah mengaku salah dan menyesal atas kesalahan yang dilakukannya.

“Anak guam saya sentiasa memberikan kerjasama penuh dalam siasatan dan sudah insaf serta memohon maaf kepada Perdana Menteri atas kesalahan yang dilakukannya,” kata peguam itu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah membaca satu ‘posting' Facebook atas nama'Zaidi Zura', dan pengadu berasa marah dan sakit hati kerana tindakan OKS mempersendakan pemimpin negara adalah suatu perbuatan tidak bermoral.

Pengadu kemudian membuat laporan kepada SKMM berhubung perbuatan Muhammad Zaidi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Zaidi yang ditemani isterinya membayar denda itu. - BERNAMA 

Tags / Kata Kunci: edit , Najib Tun Razak

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan