Sebutan Semula Kes 19 Penuntut UPNM

Diterbitkan: Selasa, 18 Julai 2017 1:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menetapkan 14 0gos untuk sebutan semula kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang  didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain (gambar), Mei lepas.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan tarikh itu sementara menunggu laporan perubatan mangsa yang meninggal dunia di Hospital Serdang, dekat sini, pada 1 Jun lepas.

Kesemua mereka  ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri , Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh berumur 21 tahun.

Ahli keluarga tertuduh juga hadir di mahkamah dan memenuhi galeri awam bagi mengikuti prosiding kes itu sehingga ada yang duduk di atas lantai mahkamah.

Pada 14 Jun lepas, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara jam 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi  manakala peguam Datuk Seri M. Ramachelvam, Datuk Ranjit Singh Dhillon , Datin Hazizah Kassim, Ariff Amirul Abdul Jani, A. G Kalidas, Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay mewakili semua tertuduh.

Tiga belas tertuduh itu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa dilepaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin setiap seorang oleh mahkamah.

Lima tertuduh lain iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri  juga menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman manakala seorang lagi tertuduh iaitu Abdoul Hakeem Mohd Ali berdepan dengan pertuduhan bersubahat membunuh.

Keenam-enam mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, asrama sama antara jam 4.45 pagi  dan 5.45 pagi pada 22 Mei.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam mereka tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan lima daripada mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh dan seorang lagi di Penjara Kajang. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Zulfarhan Osman Zulkarnain , UPNM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan