Lydiawati Didenda RM4,000

Diterbitkan: Jumaat, 9 Jun 2017 5:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon popular Lydiawati didenda RM4,000 atau 14 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini kerana mencederakan seorang peniaga wanita warga Brunei pada Mac tahun lepas.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Lydiawati, 51, atau nama sebenarnya Salina Zaimon yang terkenal dengan filem ''Suami, Isteri dan ...'' selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan itu.

Dia membayar denda tersebut.

Lydiawati didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Sharifah Harnizam Wan Musa, 43, dengan memukul mangsa menggunakan besi di sebuah hotel di Ampang pada 6.30 petang, 24 Mac tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, Lydiawati yang diwakili peguam, Fatimah Zahrah Ramli, merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan dengan alasan wanita itu adalah ibu tunggal dua anak dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun,Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

"Mahkamah perlu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri," katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berada di tempat kejadian, beliau didatangi Lydiawati yang secara tiba-tiba memukulnya dengan sebatang besi sehingga menyebabkan mangsa patah jari kelingking serta cedera dengan kesan lebam dan luka di tangan kanan.

Pada 25 Mac tahun lepas, Lydiawati memuat naik dua video menunjukkan dirinya memukul seorang wanita dalam akaun Facebook miliknya sehingga menjadi tular.  -- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Lydiawati , Brunei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan