Tipu Diculik, Wanita Direman Empat Hari - Berita Mahkamah | mStar

Tipu Diculik, Wanita Direman Empat Hari

Diterbitkan: Rabu, 10 Mei 2017 3:06 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

BATU GAJAH: Mahkamah Majistret di sini membenarkan seorang wanita direman empat hari kerana membuat laporan palsu mendakwa dia diculik pada 3 Mei lalu.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin membenarkan wanita berusia 40-an itu direman sehingga 13 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 182 kerana membuat keterangan palsu.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan tular di laman sosial berhubung seorang wanita mereka-reka cerita kononnya dia diculik ketika menghantar barangan kepada pelanggan di Taiping, pada 3 Mei lalu.

Suspek juga ditahan ketika sedang bekerja di sebuah taska di Shah Alam kira-kira 10 pagi, Selasa.

Prosiding reman terhadap suspek yang merupakan isteri kepada seorang anggota polis di Seri Iskandar dekat sini itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dekat sini pada Rabu.

Terdahulu, wanita itu yang berpakaian baju lokap ungu tiba kira-kira pukul 9.30 pagi dengan diiringi dua anggota polis wanita sebelum keluar lima minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, wanita itu dipercayai sengaja mereka-reka cerita mengatakan dia diculik.

"Beliau telah menghantar gambar kepada suaminya mengatakan telah diikat dan dilarikan orang.

Beliau juga telah menghantar pesanan suara seolah-olah meminta tolong.

"Kita berjaya menemui mangsa dan mendapati beliau berbuat demikian kerana hendak lari daripada ramai orang yang mencarinya disebabkan masalah hutang dan sanggup menipu suaminya mengatakan dia dilarikan," katanya dalam satu kenyataan.

Polis, kata Mohamad Zainal, sedang mencari seorang lelaki bernama 'Wan' yang merupakan kenalan wanita terbabit berkaitan kes penculikan palsu itu.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan siasatan awal mendapati suami kepada suspek tidak terlibat dalam rancangan penculikan tersebut. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Tipu Diculik , Tahan Reman
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan