Bunuh Suami Teman Wanita, Bekas Pemandu Lori Ke Tali Gantung

Diterbitkan: Khamis, 4 Mei 2017 3:50 PM

Bekas pemandu lori Jaafar Ngamil (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah membunuh suami teman wanitanya pada 23 Jun 2014. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Gara-gara teman wanitanya enggan meneruskan hubungan sulit mereka, seorang bekas pemandu lori tergamak mencekik suami wanita itu sehingga maut dan perbuatannya itu menerima pembalasan apabila Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada Khamis.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Jaafar Ngamil, 45, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.

Tertuduh didakwa membunuh Jamingan Hambali, 44, di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga, di antara Lot 2056, Jalan Surau Ilmiah, Tebuk Haji Omar, Kampung Banting, Sabak Bernam hingga Parit di Jalan Haji Omar, Kampung Banting, kira-kira 9.07 malam pada 22 Jun 2014 hingga 8.30 pagi pada 23 Jun 2014.

Lelaki itu dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.Seramai 12 saksi pihak pendakwaan dan seorang saksi pihak pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 11 Jan tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Wong berkata saksi ke-10 pendakwaan (SP10) iaitu anak saudara tertuduh dalam keterangannya memberitahu bahawa tertuduh telah memintanya memandu kenderaan tersebut sementara tertuduh duduk di belakang tempat duduk penumpang hadapan.

Beliau berkata, SP10 seterusnya diminta memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran rumah mangsa dan mangsa kemudian masuk ke dalam kereta serta duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Dalam perjalanan tertuduh dan mangsa telah bertengkar dan SP10 lihat tertuduh cekik mangsa guna kedua-dua tangannya dari belakang menyebabkan mangsa meronta-ronta sehingga akhirnya mangsa senyap.

“Keterangan saksi kelapan pendakwaan (SP8) (pakar forensik) mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan tekanan pada lehernya,” katanya.

Wong berkata, tertuduh dalam pembelaannya mendakwa tindakannya mencekik mangsa dari belakang adalah disebabkan provokasi mengejut  iaitu tertuduh cuba melindungi SP10 daripada dipukul mangsa.

Katanya, tertuduh juga memberitahu isu gaji tertangguh merupakan punca pertengkaran antara dia dan mangsa, namun Wong berpendapat isu itu bukan pencetus provokasi mengejut tersebut.

“Jika ada tunggakan gaji, tertuduh boleh buat tuntutan sivil terhadap mangsa, selain itu tertuduh ada kelebihan sebab mangsa duduk di hadapan sedangkan tertuduh duduk di belakang menyebabkan mangsa sukar lepaskan diri.

“Memang tertuduh ada niat nak bunuh mangsa dan bukan disebabkan provokasi mengejut. Pembelaan tertuduh adalah penafian kosong semata-mata, selepas difikirkan, tidak munasabah serta bercanggah dengan keterangan SP8 dan SP10 yang menyaksikan kejadian itu,” katanya.

Sehubungan itu, Wong berkata berdasarkan keterangan kesemua saksi dan fakta, beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes  tidak melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah serta disabitkan dengan kesalahan membunuh.

Hanya satu hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sehingga mati, katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Hukuman Gantung , bunuh , bekas pemandu lori

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan