'Ulat Tiket', 'Ulat Sapu' Masing-Masing Didenda RM1,500

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 4:54 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Seorang 'ulat tiket' dan dua 'ulat sapu' masing masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, atas pertuduhan menawarkan tiket dan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kuasa yang sah, Rabu.

Jefri Ramli, 25, Mohamad Amran Chik, 48, dan Subeli Ahmad, 55, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Salina turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Jefri yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, didakwa menawarkan tiket bas ekspres kepada penumpang di Terminal Larkin di sini, pada pukul 11.20 pagi Rabu.

Dua 'ulat sapu' iaitu Mohamad Amran yang berasal dari Pasir Gudang dan Suberi dari Mersing, didakwa menawarkan perkhidmatan kenderaan, masing-masing di lokasi berasingan iaitu di Terminal Feri Stulang di sini dan JB Sentral, di sini, pada 12.30 tengah hari dan 12 tengah hari, Rabu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Farhan Afiq Harun manakala kesemua tertuduh yang ditahan penguatkuasa SPAD menerusi Ops Khas Parasit, tidak diwakili peguam.

Jefri dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan menanggung seorang anak dan dua adik ipar selain menanggung kos rawatan isteri yang mengalami retak tulang belakang.

Mohamad Amran pula mengemukakan alasan menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan ibu yang sudah tua manakala Subeli pula mempunyai tujuh anak dengan lima daripadanya masih bersekolah.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: ukat tiket , ulat sapu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan