Tan Sri, Anak Bebas Reman

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 11:55 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Empat individu yang didakwa melakukan kesalahan membuat tuntutan palsu RM13 juta telah dibebaskan dengan jaminan.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman membenarkan ikat jamin terhadap seorang Tan Sri, anak lelakinya dan dua pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran di sini pada Khamis.

Dua lagi yang direman bersama-sama empat suspek itu dibebaskan pada Isnin.

Pada Selasa lalu, pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta tempoh reman empat suspek itu dilanjutkan.

Keenam-enam lelaki yang berumur antara 33 hingga 63 tahun itu direman enam hari sejak 6 April lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang tinggi.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kesemua pegawai JPS yang ditahan disyaki bersubahat dengan Tan Sri itu yang merupakan pemilik syarikat dilantik untuk membekalkan alat 'geotube' bagi projek JPS, membabitkan kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian pada sekitar 2012.

Kesemua lelaki itu didakwa membuat tuntutan pembayaran palsu berjumlah RM13 juta bagi pembekalan 358 unit geotube, sedangkan pembekalan dibuat sebanyak 89 unit dengan nilai RM4 juta.

Tags / Kata Kunci: Tan Sri , tuntutan palsu , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan