Sebutan Kes Bunuh Jong-nam 30 Mei

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 10:22 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes dua wanita warga asing yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai majistret menetapkan tarikh baharu itu kerana beberapa dokumen tidak lengkap.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad berkata mereka perlu tambahan sebulan setengah untuk melengkapkan dokumen yang diperlukan.

Terdahulu, dua tertuduh berkenaan tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan oleh  anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.

Konvoi pertama pacuan empat roda yang membawa warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, tiba kira-kira 7.50 pagi manakala konvoi pacuan empat roda membawa warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, tiba 10 minit kemudian.

Peguam Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh turut tiba beberapa minit kemudian.Ketika disoal wartawan, kedua-duanya berkata mereka berada di sini untuk mewakili Doan.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lepas.

Pada 1 Mac, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, klia2, pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam , Siti Aisyah , Doan Thi Huong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan