Atendan Kesihatan PPUM Didakwa Palsukan 19 Salinan MyKad

Diterbitkan: Selasa, 11 April 2017 5:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang atendan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas dua pertuduhan memalsukan 19 salinan kad pengenalan bagi permohonan mendapatan perkhidmatan internet Telekom Malaysia (TM).

Nor Azuanis Mohamed Zawi, 30, didakwa memalsukan salinan kad pengenalan melibatkan 19 individu berbeza antara Jun dan Julai 2015, di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Syakimah Ibrahim mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak yang diwakili peguam, V. Sri Kumar memohon jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah tersebut terlalu tinggi.

"Tertuduh hanya bekerja sebagai atendan kesihatan di PPUM dengan pendapatan RM1,400 sebulan dan dia adalah penanggung utama keluarga," kata peguam itu.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: atendan kesihatan , PPUM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan