Sosma: Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Maria Chin

Diterbitkan: Rabu, 5 April 2017 4:39 PM

Maria Chin Abdullah.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Rayuan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kesahihan penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tahun lepas, ditolak pada Rabu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Besar Malaya yang baharu Tan Sri Ahmad Maarop, sebulat suara menolak rayuannya berhubung  permohonan habeas corpus beliau berhubung penahanannya selama 10 hari mengikut Sosma.

Panel itu dianggotai Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Maria, 60, dibebaskan pada 28 November tahun lepas setelah ditahan 10 hari mengikut Sosma walaupun perintah yang dikeluarkan terhadapnya mengarahkan supaya beliau ditahan selama 28 hari.

Pada 29 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus beliau, sehari selepas pembebasannya, atas alasan beliau tidak lagi ditahan.

Bagaimanapun, Maria mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus beliau kerana mahu mahkamah menentukan kesahihan penahanan dan tuntutan ganti ruginya.

Pada Rabu, Hakim Ahmad memutuskan bahawa rayuannya tidak mempunyai merit dan mahkamah akan memberikan penghakiman bertulis pada masa akan datang.

Maria memfailkan permohonan habeas corpus itu pada 22 November tahun lepas, yang antara lain, memohon pembebasannya daripada penahanan Sosma dengan menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Tham Lai Kuan, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Maria ditahan di pejabatnya pada 18 November, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 diadakan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai merit permohonan habeas corpus Maria memandangkan responden tidak memfailkan sebarang afidavit jawapan berhubung penahanan beliau.

Panel Mahkamah Persekutuan sebelum itu mendengar hujah peguam Maria, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, bahawa permohonan anak guamnya itu bukannya akademik kerana adanya isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah mengenai kesahihan penahanan dan tuntutan ganti ruginya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas, yang mewakili responden, pula berhujah bahawa tiada isu bagi mahkamah membenarkan permohonan Maria memandangkan perkara itu menjadi akademik kerana Maria telah dibebaskan. - BERNAMA 

Tags / Kata Kunci: Sosma , Maria Chin

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan