Edar Dadah: Lelaki Argentina Dihadap ke Mahkamah - Berita Mahkamah | mStar

Edar Dadah: Lelaki Argentina Dihadap ke Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 5 April 2017 1:34 PM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Seorang lelaki warga Argentina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 1,371 gram yang bernilai RM247,200, minggu lepas.

Tertuduh, Miguel Angel Camacho, 57, didakwa mengedar dadah itu di Kaunter Bagasi Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada pukul 2 petang, 29 Mac lepas.

Tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Sepanyol di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohamad Alif Abdul Aziz.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Camacho, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Argentina , dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan