Pemandu Lori Dihukum Gantung Edar 2.7 Kilogram Kanabis

Diterbitkan: Selasa, 28 Mac 2017 12:41 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin selepas didapati bersalah mengedar 2.7 kilogram kanabis tiga tahun lepas.

Wan Mohamad Lufti Jaafar, 35, turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap iaitu pada 26 Julai 2014 dan lima sebatan atas kesalahan memiliki 34 gram kanabis.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Berdasarkan keterangan pembelaan, ia berbentuk penafian semata-mata dan memindahkan kesalahan kepada orang lain yang tidak wujud," katanya di akhir kes pembelaan seperti dilaporkan Bernama.

Wan Mohamad Lufti didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di hadapan premis GD Express Sdn Bhd dekat Parit Buntar kira-kira 12.10 tengah malam, 26 Julai 2014.

Bagi kesalahan mengedar dadah, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama kerana memiliki dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Azwar Khalil.

Tags / Kata Kunci: Hukum Gantung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan