'Datuk' Antara Didakwa Anggotai Kumpulan Jenayah Terancang

Diterbitkan: Selasa, 28 Mac 2017 3:56 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 10 lelaki termasuk seorang bergelar 'Datuk', mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang antara Januari 2015 hingga Ogos tahun lepas.

Mereka ialah Datuk K. Elumalai, 43, K. Puvendran, 29, M. Kishok Kumar, 26, R. Ganabathy, 31, R. Shamuga Nathan, 38, S. Jeeva, 27, S. Rajandran, 40, M.Suresh, 40, Law Koon Ping, 44, dan S. Elango, 36.

Kesemua tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang iaitu 'Geng 21 Japan' di Wilayah Iskandar, Johor Baru, antara 18 Januari 2015 hingga 19 Ogos 2016 dan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam kerana kes itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Elumalai dan Puvendran diwakili peguam Tania Scevetti yang menyebut bagi pihak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Suresh dan Jeeva diwakili peguam R. K Menon, Shamuga Nathan dan Ganabathy pula diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab.

Selain itu, Law dan Rajandran diwakili peguam Anuar Raof, manakala Elango diwakili peguam Lily Chuah.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Datuk , jenayah terancang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan