Rakam Gambar Wanita Salin Pakaian, Pekerja Didenda RM3,000

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 5:23 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang pekerja kedai pakaian yang merakam gambar dua wanita yang sedang mencuba pakaian di bilik persalinan, mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Alsaik, 28, (keturunan Suluk) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menghalakan kamera telefon bimbitnya di bawah pintu bilik persalinan dua beradik berusia 20 dan 16 tahun bagi mengaibkan kehormatan dengan maksud mengganggu kesantunan mereka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik persalinan sebuah kedai pakaian di Sunway Velocity, Cheras, pada 7.30 malam, 12 Mac lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kedua-dua mangsa membuka pintu bilik selepas mencuba pakaian, mereka mendapati tangan tertuduh di bawah pintu sambil memegang telefon bimbitnya dan mengambil gambar mereka.

Mangsa memaklumkan perkara itu kepada pihak polis dan polis berjaya menangkap tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal mengambil kira perbuatan tertuduh yang menjejaskan kesantunan mangsa.

Tags / Kata Kunci: rakam gambar , pekerja kedai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan