Pengarah Syarikat Ladang Ternakan Didakwa Pecah Amanah RM100,000

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 4:42 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang pengarah urusan syarikat sebuah ladang ternakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 24 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM100,000, enam tahun lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan Soon Thong, 59, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang syarikat bagi kegunaan peribadi tanpa kebenaran atau persetujuan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Antara penyalahgunaan wang itu adalah bagi tujuan membayar ansuran bulanan kereta anak lelakinya, membayar yuran pengajian anak lelakinya di Wawasan Open Universiti dan pembelian bahan mentah di ABM Maju Jaya Enterprise.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ladang Ternakan Sungai Patani Sdn Bhd (LTSP), No 28 Jalan Krian, 10400 Pulau Pinang di sini antara 5 Feb 2011 hingga 20 Disember 2011.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan dengan sebat dan denda, jka sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim memohon kepada mahkamah agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Irwan Suainbon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 April depan untuk pengurusan kes.

Tertuduh diwakili peguam Simon Tan dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan