Dr Vida Bayar GST RM4.2 Juta

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 1:12 PM

-fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

IPOH: Jutawan Kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman pada Khamis menjelaskan tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April 2015 hingga Julai 2016 berjumlah RM4.2 juta.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu menjelaskan bayaran itu menerusi draf bank atas nama Jabatan Kastam Diraja Malaysia pagi tadi sebelum perbicaraan kes bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST didengar di Mahkamah Sesyen.

Berikutan itu, Hakim Murtazadi Amran membenarkan pihak kastam menarik balik semua 16 pertuduhan berkaitan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mengesahkan tertuduh telah menjelaskan semua tunggakan GST.

Terdahulu, Syed Ahmad Syed Abas yang mewakili Vida memohon pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan kerana anak guamnya telah membuat pembayaran penuh bagi jumlah yang dituntut iaitu RM4,246,029.10.

Hakim turut mengarahkan pasport antarabangsa Vida yang diserahkan kepada mahkamah sebelum ini diberikan semula kepada tertuduh.

Oktober lalu, Vida didakwa melakukan kesemua 16 kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Bagi pertuduhan itu, Vida didakwa mengikut Seksyen 41(7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata beliau amat berminat untuk mendengar perbicaraan kes itu kerana ia merupakan sebuah kes yang menarik dan mendapat perhatian ramai.

Setelah selesai prosiding, Vida yang terkenal dengan perwatakan ceria , bersyukur kerana dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

"Ini adalah satu ujian, ini adalah satu rahmat untuk saya pergi lebih tinggi. Saya bersyukur, saya dah bebas," katanya.

Beliau turut menyanyikan lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi' yang dipopularkan penyanyi Indonesia Mulan Jameela sambil menyatakan perasaan tidak sabar untuk melancong ke luar negara.

Pada Disember lalu, Vida mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST dan didenda sebanyak RM80,000.
Tags / Kata Kunci: Dr Vida , GST , kes mahkamah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan