Rasuah: Pegawai Imigresen, Tiga Individu Lain Bebas

Diterbitkan: Isnin, 27 Februari 2017 3:21 PM

Empat individu termasuk pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, Isnin bagi permohonan melanjutkan tempoh reman mereka bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada pengusaha pusat hiburan serta rumah urut. Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan SPRM melanjutkan reman dan mereka dibebaskan tanpa syarat.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak bersama tiga individu lain yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah kini bebas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapatkan perintah lanjutan reman di Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Kesemua mereka, yang tiba pada pukul 9.45 pagi tadi, sebelum ini ditahan direman selama lima hari mulai 23 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan operasi pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu.

Majistret Suhaima Mohd Noor menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, untuk melanjutkan tempoh reman.

"Permohonan yang dikemukakan SPRM tidak mempunyai merit. Oleh itu mahkamah membebaskan kesemua suspek," kata Suhaima.

Pegawai kanan berusia 57 tahun itu bersama dua ahli perniagaan berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun itu diwakili peguam Dexter Mah dan Ranjit Singh Sandhu.

Terdahulu, Nurul Wahida berhujah telefon bimbit yang dirampas daripada kesemua suspek untuk membantu siasatan telah dihantar ke cawangan forensik teknologi SPRM.

"Maklumat banyak bergantung dalam telefon bimbit berkenaan, sekiranya reman tidak dibenarkan dan kesemua mereka dibebaskan ia boleh mengganggu siasatan," katanya. 

Bagaimanapun, Dexter berkata tiada alasan untuk melanjutkan tempoh reman selepas semua anak guamnya memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

"Akaun bank, barang rampasan serta barang kes kesemuanya telah diserahkan kepada pihak penyiasatan. Jadi tidak perlu lagi untuk melanjutkan lagi tahanan reman terhadap anak guam saya," katanya.

Menurut Ranjit Singh pula, alasan yang diberikan oleh pihak penyiasatan seperti tiada kata kunci untuk membuka telefon bimbit kesemua suspek tiada asas kerana mereka boleh memperolehinya daripada cawangan forensik itu.

"Barang tidak boleh disentuh oleh suspek kerana barang di bawah kawalan pihak penyiasatan," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Imigresen , Perak , SPRM

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan