Pasangan Kekasih Didakwa Miliki Senjata, Peluru & Dadah

Diterbitkan: Khamis, 26 Januari 2017 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan memiliki kerambit, empat batang paip bom buatan tanpa kebenaran, lapan butir peluru dan dadah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh itu, Teoh Boon Seng, 34, dan Yeoh Seok Tiang, 42, kerana mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Bagi pertuduhan pertama mereka didakwa memiliki satu senjata dijadualkan iaitu kerambit di dalam kereta di sebuah rumah No 15, Jalan Bangau 1, Taman Minamah, Nibong Tebal pada pukul 1 tengah hari, 12 Januari lepas.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki bahan letupan iaitu empat batang paip bom buatan tanpa kebenaran di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Untuk kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga mereka dituduh memiliki lapan butir peluru hidup tanpa permit yang sah di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum menurut Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka turut didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 12.65 gram di sebuah rumah No 15, Jalan Bangau 1, Taman Minamah, Nibong Tebal pada pukul 11 pagi, 12 Januari lepas.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39a(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Februari untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: dadah , Jalan Bangau

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan