Pelaburan Palsu Di Mekah, Ahli Perniagaan Didakwa Sekali Lagi

Diterbitkan: Rabu, 11 Januari 2017 4:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang menghadapi dua pertuduhan menipu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Mekah, sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini berkaitan kes sama melibatkan kerugian lebih RM320,000.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Pada Selasa, Sheikh Saidey mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, atas dua pertuduhan berhubung penipuan pelaburan program Islamic Hotel di Mekah dan Madinah, manakala isterinya Sofia Affendi, 42, didakwa bersubahat dengan suaminya atas kedua-dua pertuduhan itu.

Pada Rabu, Sheikh Saidey didakwa dengan curang menipu dan memperdaya mangsa, Mohd Ismail Norbat melalui Nor Hazeerena Hamdan, dengan menawarkan pelaburan pajakan bilik Hotel di Mekah, Arab Saudi, yang sebenarnya tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa untuk memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam tiga akaun milik Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke dalam lapan akaun yang diuruskan oleh tertuduh, atas arahan tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Desa Pandan, di sini antara 27 November 2015 dan 30 Jun 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim tidak menawarkan sebarang wang jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Feb untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pelaburan Palsu , Mekah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan