Rasuah: Bekas Pengarah Urusan TEKUN Mengaku Tidak Bersalah

Diterbitkan: Isnin, 9 Januari 2017 12:26 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam pada Isnin atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM36,000, awal tahun lalu.

Menurut kenyataan rasmi SPRM, Abdul Rahim, 62, didakwa meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pengutip hutang, Pasadana Sdn. Bhd. masing-masing pada 13 Januari 2015 dan 15 Januari 2015.

Jelas kenyataan itu, bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa telah meminta suapan bernilai RM36,000, iaitu 10 peratus daripada hasil kutipan 'Hutang Lapuk TEKUN Nasional' bagi November 2014 bernilai RM360,009.08 daripada pemilik Pasadana Sdn. Bhd. pada 13 Januari 2015 melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan syarikat berkenaan.

" Bagi pertuduhan kedua, Abdul Rahim didakwa menerima suapan tersebut daripada pemilik Pasadana Sdn. Bhd. pada 15 Januari 2015, pukul 9.30 malam, di lobi Kelab Shah Alam Selangor.

"Pertuduhan terhadap Abdul Rahim dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama," jelas kenyataan tersebut.

Sekiranya didapati bersalah, suspek akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adhha Abu manakala tertuduh diwakili peguam, Hasnal Rezua Merican.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin untuk dua pertuduhan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut menetapkan 8 Februari depan untuk pengurusan kes dan kes akan dibicara pada 13 hingga 17 Mac depan.

Tags / Kata Kunci: Abdul Rahim Hassa , Tekun , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan