Pengawal Keselamatan Ceroboh Rumah Dipenjara Empat Bulan

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2017 3:22 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang menceroboh dengan niat untuk mencuri pada hari pertama Tahun Baru dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Kok Fah, 53, setelah dia mengaku bersalah menceroboh dengan tujuan mencuri di kediaman milik seorang koordinator sekolah, Loke Yew Wah, 62, di No 15D, Jalan Chantek 5/13, di sini pada 11 pagi, 1 Januari lepas.

"Kamu sebagai pengawal keselamatan sepatutnya menjaga keamanan kawasan, ini tidak, kamu pula yang menceroboh rumah orang...adakah ini salah satu daripada cara kerja kamu?," kata Majistret itu sebelum menjatuhkan hukuman.

 Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

 Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor dia telah berada di dalam kediaman itu yang dimasuki melalui tingkap berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Yee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menyara tiga orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya telah meninggal dunia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan