Megarasa Enterprise Didakwa Jual Tong LPG Tanpa Kebenaran

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2016 6:01 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menjual barang kawalan iaitu 2,234 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) seberat 31,212 kilogram kepada sebuah syarikat lain yang tidak mempunyai lesen.

Merasega Enterprise Sdn Bhd, yang diwakili dua pengarahnya, Choy Mew Kong, 60, dan Choy Teik Hooi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Merasega Enterprise sebagai pemegang lesen borong, didakwa menjual barang kawalan berkenaan yang juga merupakan barang berjadual kepada Wang Gas Trading yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pegawai Bekalan, yang mana telah melanggar Subperaturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Syarikat terbabit didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di premisnya di Taman Perindustrian Puchong dekat sini, antara 1 dan 7 Jun lepas.

Merasega Enterprise dalam pada itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan 71 transaksi pembelian 2,936 tong LPG seberat 124,120 kilogram daripada Wang Gas Trading yang tidak mempunyai apa-apa lesen atau kebenaran bertulis untuk menjual LPG tersebut, pada Februari hingga April lepas, di premis yang sama.

Merasega Enterprise juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan gagal mengemukakan buku stok berkaitan pembekalan LPG yang dikehendaki oleh Penolong Pengawal, kira-kira 4.20 petang pada 8 Jun lepas di premisnya.

Bagi kesemua pertuduhan itu, syarikat berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya, boleh didenda maksimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam prosiding yang sama, Mew Kong dan Teik Hooi masing-masing turut menghadapi lapan pertuduhan yang sama atas kapasiti mereka sebagai pengarah syarikat.

Mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Mohd Firdaus Abu Hanipah memaklumkan kepada mahkamah bahawa syarikat itu dan kedua-dua pengarahnya telah menghantar representasi berhubung kes berkenaan dan memohon tarikh sebutan sementara menunggu keputusan representasi itu. 

Hakim Ahmad Azhari kemudian menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan representasi dan penyerahan dokumen. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Megarasa Enteeprise

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan