Pemilik Gudang Didakwa Elak Duti Kastam RM2.07 Juta

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2016 1:44 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seorang pemilik gudang dan pengarah syarikat ejen penghantaran pengangkutan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan menipu untuk mengelak duti Kastam berjumlah RM2.07 juta yang dikenakan ke atas lebih 10 juta batang rokok.

Tertuduh, Lui Poh Hong, 35, dan Tan Siew Ping, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mariam Maran Abdullah.

Mereka didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan itu di Gudang CFS 2, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini, kira-kira 11.30 pagi pada 13 Julai lepas.

Lui dan Tan didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(i)(aa) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20.7 juta (10 kali ganda nilai duti) dan maksimum RN41.4 juta (20 kali ganda nilai duti) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mariam membenarkan Lui dan Tan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 23 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor, Abdul Rasyiddi Ab. Drahman sementara kedua-dua individu berkenaan diwakili Peguam Datuk Ismail Badiuzzaman.

Terdahulu, Ismail memohon supaya kontena yang terlibat dalam kes itu dilepaskan atas alasan ia disewa oleh anak guamnya dan mereka perlu menanggung kadar sewa melebihi RM30,000 berikutan kontena berkenaan telah berada dalam simpanan pihak Kastam selama enam bulan.

Bagaimanapun Abdul Rasyiddi berkata kes masih dalam siasatan dan sekiranya kontena itu dilepaskan, ia akan menjadi subjektif, justeru pihaknya perlu merujuk perkara itu kepada penasihat Undang-undang Kastam terlebih dahulu.

Ismail turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung beberapa isu dan fakta dalam kes itu.

Tambah beliau, Lui hanyalah pemilik gudang dan Tan bukan pemilik barangan yang terlibat dalam kes berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Kastam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan