Gunasekaran Bebas Tuduhan Bunuh Kevin Morais

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2016 5:32 PM

GAMBAR FAIL

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepas dan membebaskan G.Gunasekaran, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, daripada pertuduhan membunuh mendiang.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin memaklumkan Gunasekaran telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

"Tertuduh telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan. Pohon pertuduhan ke atas Gunasekaran di bawah Seksyen 302 kanun yang sama ditarik balik," katanya.

Sebelum ini, Gunasekaran, bersama-sama lima lelaki, R. Dinishwaran, 24, A.K.

Thinesh Kumar, 26, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pakar patalogi, Dr K. Kunaseegaran, 53, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, 55, di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama manakala Gunasekaran dan lima lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Saiful Edris turut memaklumkan Gunasekaran, 48, akan menjadi saksi pihak pendakwaan dan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan pada Rabu.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkap pada 15 September 2015 terhadap Gunasekaran selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan menyembunyikan mayat Kevin Morais dan menghapuskan kenderaan lelaki itu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Gunasekaran didakwa bersama-sama Ravi Chandaran dan Nimalan dengan niat bersama telah menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan nombor plat WA 6264Q itu dengan niat untuk mengelak enam tertuduh, Ravi Chandaran, Nimalan, Thinesh Kumar, Vishwanath, Dinishwaran, Dr Kunaseegaran daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit Kampong Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, Perak, antara pukul 7 pagi 4 September 2015 hingga 2 pagi 5 September 2015.

Tertuduh dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Kevin Morais

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan