Rasuah: Pegawai Imigresen Dihukum Penjara Lima Tahun, Denda RM63,000

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 8:48 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pegawai imigresen dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM63,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Rabu kerana kesalahan rasuah berjumlah RM12,600 empat tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhi hukuman itu selepas R. Vikneswaran, 35,  mengaku bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Vikneswaran dihukum penjara lima tahun dan denda RM20,000 kerana meminta suapan RM4,000 menerusi panggilan telefon kepada R. Lakshumana Rao, pada 4 petang 18 Julai 2012.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan dua lelaki warga India dikenali sebagai 'Sudhakar' dan 'Sreekanth Bongoni' yang dipercayai menggunakan dokumen palsu perjalanan.

Untuk pertuduhan kedua, Vikneswaran didenda RM12,500 dan penjara lima tahun kerana meminta suapan RM2,500 daripada individu sama menerusi panggilan telefon pada 4.50 petang, 10 September 2012 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki warga India dikenali sebagai 'Satinder Pal' yang menggunakan dokumen perjalanan tidak mematuhi undang-undang.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM12,500 kerana menerima suapan RM3,600 daripada Lakshumana Rao sebagai upah untuk melepaskan "Sudhakar" dan "Sreekanth Bongoni" di restoran McDonald's, Nilai, Negeri Sembilan, pada 24 Julai 2012.

Untuk pertuduhan keempat pula, Vikneswaran dihukum penjara lima tahun dan denda RM18,000 kerana menerima suapan RM2,500 daripada invididu sama untuk melepaskan "Satinder Pal".

Tertuduh melakukan kesalahan itu di aras bawah tanah, tempat letak kenderaan Blok B, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.45 petang, 14 September 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Asmadi memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula pada Rabu dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan tambahan hukuman penjara empat tahun lagi.

Terdahulu, peguam tertuduh, Gurdit Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah hukuman dan denda kerana Vikneswaran menanggung ibu bapanya selain tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas digantung tugas sebagai penjawat awam.

Gurdit Singh turut memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya sementara menungggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Hazirah Azeman dan Mohammad Heikal Ismail dari SPRM memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh sebagai penjawat awam adalah kesalahan besar yang perlu memberi pengajaran kepada masyarakat.

Asmadi kemudian membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga selesai proses rayuan tetapi menaikkan jumlah ikat jamin daripada RM20,000 kepada RM50,000.

Vikneswaran juga diperintah membayar kesemua denda dan wang jaminan selewat-lewatnya pada Rabu dan melaporkan diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari Isnin setiap awal bulan. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: pegawai imigresen , rasuah

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan