Bekas Anggota Polis Dipenjara Tiga Bulan Kerana Menyamar Polis

Diterbitkan: Isnin, 28 November 2016 7:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan.

Majistret, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faieruze Salleh, 36, kerana menyamar sebagai pegawai polis di GF KLCC laluan ke LRT KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 19 September lepas.

Dia juga dipenjara sebulan kerana melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Sunitti Nari, 54, seorang tukang cuci, supaya menyerahkan wang RM200 di tempat dan tarikh sama.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 19 September 2016.

Dia didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 384 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. 

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa telah meminta Sunitti menunjukkan kad pengenalannya.

Tertuduh memberitahu mangsa kad pengenalannya palsu dan meminta wang RM200, namun mangsa menyerahkan RM50 tetapi tertuduh enggan dan pengadu kemudian meminta bantuan daripada pengawal keselamatan di situ untuk menghubungi polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Ashif manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan