Lapan Lelaki Indonesia Rompak MT Orkim Harmony Dipenjara 15 Dan 18 Tahun

Diterbitkan: Ahad, 27 November 2016 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara 15 dan 18 tahun terhadap lapan lelaki warga Indonesia yang merompak secara berkumpulan kapal MT Orkim Harmony di perairan Tanjung Sedili pada Jun, tahun lepas.

Tertuduh dikenali sebagai Ruslan, 63 dan Kurniawan, 50 dijatuhi hukuman penjara 18 tahun manakala Abner Loit, 29; Jhon Danyel Despol, 39; Anjas, 28; Randy Aditya, 20; Fauji Adha, 28 dan Hendry Andaria, 40, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar pengakuan bersalah daripada kesemua suspek serta mengambil kira pelbagai faktor antaranya melibatkan kepentingan orang awam.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman tersebut dilaksanakan mulai hari ini dengan lima daripda mereka iaitu Abner, Jhon Danyel, Anjas, Randy, Fauji dan Hendry turut dikenakan sebatan sebanyak lima kali manakala Ruslan dan Kurniawan pula dikecualikan.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Jun 2015 di kedudukan 12.4 batu nautika Timur Pulau Tokong Yu dalam perairan Tanjung Sedili, kira-kira pukul 9 malam. 

Kapal berkenaan dengan 22 kru yang dalam perjalanan dari jeti Sungai Udang, Melaka menuju ke Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan membawa 5,879 metrik tan minyak petrol RON95 bernilai kira-kira RM11 juta.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Dalam rayuan, kesemua tertuduh memohon agar diringankan hukuman memandangkan ada daripada mereka sudah berkeluarga dan menyesali perbuatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan tertuduh patut diberikan hukuman setimpal kerana kes melibatkan isu keselamatan perairan negara yang mendapat liputan meluas pihak media.

Pendakwaan juga berkata kes telah mengakibatkan kerajaan menanggung kos hampir setengah juta untuk melakukan beberapa perkara termasuk menghantar semula kapal berkenaan dari Vietnam ke pelabuhan Kuantan, Pahang (selepas ditemui) serta ektradisi kesemua tertuduh dari Vietnam ke Malaysia.

Pendakwaan kes itu dikendalikan enam timbalan pendakwa raya diketuai Mohamad Abazafree Mohd Abbas manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Turut hadir semasa pendakwaan ialah Konsul dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Wino Sumarno. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: MT Orkim Harmony , Indonesia , Kota Tinggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan