Pekerja Hotel Didakwa Pecah Amanah Wang Sekolah

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2016 5:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pengurusan majlis sebuah hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan pecah amanah wang tunai berjumlah RM7,240 milik sebuah sekolah di Ampang Jaya di sini.

Bagi pertuduhan pertama, Ezul Farhan Jamaludin, 37, didakwa melakukan pecah amanah jenayah wang tunai RM2,500 kepunyaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kafe Hotel Flamingo pada 29 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua sehingga keempat, tertuduh didakwa pecah amanah wang tunai masing-masing berjumlah RM3,000, RM870 dan RM870 kepunyaan sekolah sama.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di SMK Dato Ahmad Razali pada 27 Mei, 29 Jun dan 3 Ogos lepas.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri dan empat orang anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 27 Dis ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pecah Amanah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan