Dr Kunaseegaran Pernah Tunjuk Reaksi Tidak Puas Hati Terhadap Kevin Morais - Saksi

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2016 4:59 PM

Mendiang Kevin Morais.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa Kolonel Dr R. Kunaseegaran, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, menunjukkan reaksi tidak berpuas hati ketika Morais mengendalikan kesnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh Jugindar Singh, yang membantu Morais mengendalikan kes berkenaan berkata Dr Kunaseegaran menunjukkan reaksi itu ketika Morais menambah dua lagi pertuduhan terhadapnya.

"Pada mulanya (Dr Kunaseegaran berdepan) satu pertuduhan di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan, selepas itu Morais arahkan dua lagi pertuduhan dimasukkan terhadap Dr Kunaseegaran di bawah seksyen sama menjadikan kesemuanya tiga pertuduhan," katanya.

Savinder, yang kini bertugas di Jabatan Peguam Negara Kedah merupakan saksi pendakwaan ke-46 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh itu yang masuk hari ke-31 pada Isnin.

Beliau berkata pertuduhan tambahan ke atas Dr Kunaseegaran itu dikemukakan pada 22 Jun 2015.

"Pada waktu tersebut apabila dua pertuduhan tambahan dikemukakan terhadap Dr Kunaseegaran, saya telah lihat reaksi seperti tidak berpuas hati berkenaan pertuduhan tambahan yang dikemukakan Morais," katanya.

Saksi itu berkata selepas prosiding mahkamah berakhir, Dr Kunaseegaran dilihat bercakap dengan beberapa lelaki India yang hadir menemaninya.

Terdahulu, Savinder berkata Dr Kunaseegaran sering kali dilihat ditemani empat lelaki setiap kali sebutan kesnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya beliau melihat dua daripada empat lelaki itu pada setiap masa berada bersama Dr Kunaseegaran iaitu tertuduh kedua, G.Gunasekaran dan tertuduh ketujuh, S. Ravi Chandaran, dalam kes pembunuhan itu.

Menjawab soalan Saiful Edris, saksi itu berkata kali terakhir beliau menemui Kevin Morais adalah pada 2 Sept 2015, di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, dua hari sebelum Morais dilaporkan hilang iaitu pada 4 September.

"Kali terakhir saya dihubungi Morais pula adalah pada 4 Sept 12.30 tengah malam apabila saya menerima e-mel tugasan daripada Morais berkenaan satu kes di Johor Baru.

"Morais telah meminta saya agar memuat turun dokumen yang telah dilampirkan dalam e-mel dan bawa pada pagi 4 September 2015 namun pada tarikh tersebut Morais tidak hadir ke pejabat dan gagal dihubungi," katanya.

Enam lelaki - Gunasekaran, 48; R.Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M.Vishwanath, 26; Nimalan, dan Ravi Chandaran, 45 - mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 November. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Dr R. Kunaseegaran , Kevin Morais

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan