Perhimpunan 'Blackout 505': Rafizi, Tiga Lain Didenda RM1,950

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 8:38 PM

Rafizi Ramli.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan tiga yang lain masing-masing didenda RM1,950 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan menganjurkan perhimpunan 'Blackout 505', tiga tahun lepas.

Mohd Rafizi, 39, yang juga anggota Parlimen (MP) Pandan, MP Seremban Anthony Loke Siew Fook, 39, bekas anggota Sekretariat PKR Muhammad Adib Ishar, 27, dan anggota Dewan Undangan Negeri Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, 54, dijatuhi hukuman denda itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan pada Selasa.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda dan memberi mereka masa hingga 3 petang esok untuk membayar denda itu.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan iaitu sebagai penganjur perhimpunan itu di Padang Merbok di sini, didapati telah gagal menyertakan sesalinan persetujuan kepada pemilik padang berkenaan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka juga gagal memaklumkan pemberitahuan bertarikh 12 Jun 2013 kepada pegawai polis yang menjaga Daerah Dang Wangi, iaitu ACP Zainuddin Ahmad, dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini, antara 2 petang dan 6 petang pada 22 Jun 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Mohd Nor memohon hukuman sewajarnya dikenakan terhadap kesemua tertuduh berikutan berlaku kekecohan semasa perhimpunan itu diadakan.

Katanya berdasarkan keterangan saksi pihak pendakwaan, terdapat cubaan untuk orang ramai menghalang DBKL daripada menanggalkan khemah yang dipasang.

"Hujahan pihak pembelaan bahawa perhimpunan itu diadakan secara aman tanpa sebarang kekecohan adalah tidak benar kerana terdapat lebih 8,000 orang berkumpul dalam perhimpunan tersebut," katanya.

Mohd Rafizi dan Loke diwakili peguam Gobind Singh Deo, Muhammad Adib oleh peguam Eric Paulsen dan Syed Azman oleh peguam Azizul Shariman Mat Yusoff. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Rafizi Ramli , Blackout 505

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan