Pengerusi MyWatch Didakwa Keluar Komen Jelik Terhadap KPN

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2016 2:33 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman Facebook miliknya.

Sanjeevan, 32, yang sebelum ini dihadapkan ke mahkamah beberapa kali bagi pertuduhan lain, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Ahli perniagaan itu didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebooknya di pautan https://www.facebook.com/MalaysianCrimeWatchMyWatch secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya terhadap Khalid dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 1.48 tengah hari, 3 September lalu.

Pautan itu kemudian telah dibaca pada 5 September pukul 11.30 pagi di sebuah kiosk di kawasan USJ 1, Subang Jaya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Sanjeevan yang diwakili peguam S. Preakas memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama kepada mahkamah sepanjang prosiding kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Nov untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Sanjeevan pada 25 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu dengan memalsukan kelayakan akademiknya dan pada 16 Ogos lalu, Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki.

Dia juga dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang, 12 Ogos lepas atas pertuduhan memeras ugut. 

Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas dua pertuduhan iaitu menggaji warga asing tanpa pas dan memeras ugut pada 19 Julai lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan