Anak Bunuh Ibu Didakwa Di Hospital

Diterbitkan: Selasa, 11 Oktober 2016 2:11 PM

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Seorang lelaki didakwa di Hospital Teluk Intan pada Selasa atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh bulan lalu.

Chan Chee Keong, 55, dituduh membunuh Low Kew@Low Lin Kiew, 74, di sebuah rumah di Kampung Baru Cina, Air Kuning kira-kira pukul 6.45 petang, 27 September lepas.

Pekebun sawit itu didakwa membunuh ibunya dengan menetak muka dan leher warga emas itu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal dari Mahkamah Majistret Tapah namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang digari kedua-kedua tangan pada katil.

Chan ditempatkan di wad 2C hospital berkenaan sejak 4 Oktober lalu untuk menerima rawatan akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Asyraf menetapkan 11 November untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh ditahan di Penjara Taiping sebaik keluar dari hospital. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Bunuh , Hospital Teluk Intan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan