Lelaki Didakwa Bunuh Adik, Ibu Saudara

Diterbitkan: Ahad, 9 Oktober 2016 12:55 PM

Azman ketika dibawa ke mahkamah untuk berdepan dua pertuduhan kerana menyebabkan kematian adik dan ibu saudara pada awal Oktober di Baling, Ahad.

(Ubah saiz teks)

BALING: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan iaitu membunuh adik kandungnya yang lumpuh dan ibu saudaranya dalam kejadian di Kampung Lanai, Parit Panjang di sini pada 2 Oktober lepas.

Tertuduh Azman Wahab, 32, hanya mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa hingga menyebabkan kematian adiknya, Muhammad Azwan Wahab, 26, di ruang tamu rumah mereka, di Kampung Lanai pada 11 pagi, 2 Oktober lalu.

Tertuduh juga didakwa membunuh ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, dan melakukan perbuatan itu kira-kira 11.10 pagi, pada tarikh dan lokasi yang sama iaitu di luar rumah.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Azman didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mohd Izmi menetapkan 23 November tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Wan Hasmira Wan Ishak dan tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Kampung Lanai , Azman Wahab , Baling

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan