Mahkamah Rayuan Batal Saman Waris Penumpang MH370 Ke Atas MAB

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 5:41 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia Airlines Berhad (MAB) berjaya dalam rayuannya untuk membatalkan saman yang difailkan tiga waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih dua tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Rohana Yusuf pada Jumaat menggugurkan MAB sebagai defendan dalam kes saman yang difailkan oleh anak dan ibu bapa kepada Tan Ah Meng, 46, dan isteri, Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45.

Pasangan itu dan anak sulung mereka, Tan Wei Chew, 19, antara 239 penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 apabila pesawat malang itu hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.  

Berikutan keputusan itu, satu-satunya defendan yang kekal dalam tuntutan saman itu adalah Malaysia Airlines System Berhad (MAS). 

Kecuali MAS, empat lagi pihak yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman berkenaan.

Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya dalam permohonan mereka pada 30 Mac lepas, untuk membatalkan saman itu.

Bagaimanapun MAB gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: MAB , Malaysia Airlines , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan