Pemilik Syarikat Telekomunikasi Mengaku Bersalah Gagal Kemuka Penyata GST

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2016 2:42 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pemilik sebuah syarikat telekomunikasi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tempoh lapan bulan.

Wong Kean Yik, 35, yang juga pengarah Sun Yi Telecommunication Trading membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa gagal mengemukakan penyata cukai GST bagi tempoh bercukai dari Mei 2015 hingga Disember 2015 sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Stesen JKDM, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Abdul Razak di sini.

Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. Kean Yik dalam rayuannya memohon mahkamah menangguhkan keputusan kes itu bagi membolehkannya menyediakan wang secukupnya untuk membayar denda.

Murtazadi kemudian membenarkan permohonan Kean Yik dan menangguhkan keputusan pada 19 Oktober ini.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, S. Morgan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: GST , kastam , Wong Kean Yik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan