Juruteknik Kapal Mengaku Tidak Bersalah Galakkan Keahlian Pengganas

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2016 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik kapal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas dua pertuduhan menggalakkan keahlian dan membenarkan perjumpaan berkaitan kumpulan pengganas.

Nor Hafizy Che Meh, 39, didakwa telah menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Islamic State (IS) di rumah beralamat lot 6846-F, Lorong Kemboja, Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, Selangor antara Disember 2013 hingga Oktober 2015.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa telah membenarkan perjumpaan berkaitan kumpulan pengganas di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130G(b) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P.Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Pada 8 Jun lepas, Nor Hafizy didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kesalahan tersebut tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kes di bawah Sosma akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: juruteknik kapal , IS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan