Mahkamah Diberitahu Tong Dram Berisi Mayat Kevin Morais Ditemui Di Dalam Paya

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2016 4:08 PM

Mayat Kevin Morais yang disumbat di dalam guni dan disimen, ditemui di dalam sebuah paya dekat Subang Jaya pada September tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu sebuah tong dram mengandungi mayat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, yang disumbat dalam guni dan disimen, ditemui di dalam sebuah paya hitam dan busuk di Subang Jaya dekat Petaling Jaya.

Anggota Pasukan Khas Jenayah Terancam (STAFOC) Bukit Aman ASP Badrul Hisyam Abd Hamid yang merupakan saksi ke-31 bagi kes itu berkata mayat itu ditemui berdasarkan maklumat yang diberi oleh tertuduh keenam, S.Nimalan, 23.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu berkata pada 16 September 2015, Nimalan telah memandu arah beliau, Pegawai Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said, jurugambar, pasukan forensik termasuk penyelam dan anggota bomba ke sebuah kawasan di Subang Jaya, yang terletak hanya 10 minit dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Beliau berkata lokasi itu, yang agak sunyi dan tidak mempunyai penempatan, merupakan sebuah kawasan berpaya dikelilingi semak samun, lalang setinggi paras bahu dan terletak bersebelahan jalan raya menuju ke kawasan perindustrian.

"Sampai di sana, tertuduh dengan kedua-dua tangannya bergari di hadapan telah dibawa keluar dari kenderaan dan dibawa ke kawasan paya. Dia kemudian berkata 'dekat sini tuan'. Tempat yang tertuduh tunjukkan terdapat kesan lalang seperti ditekan dan tayar kenderaan," katanya pada perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais, yang masuk hari ke-21, Selasa.

Hasil siasatan di kawasan itu, Badrul Hisyam berkata pihak forensik kemudian menemui sebuah tong dram berwarna putih dan merah di dasar paya itu, yang kedalamannya dianggarkan satu meter.

"Kira-kira enam anggota forensik cuba membawa naik tong dram tersebut. Tong itu sangat berat dan enam anggota sukar menaikkannya.

"Akhirnya tong itu dikeluarkan (dari paya) apabila anggota forensik mengikatnya dengan tali yang disambungkan ke belakang kenderaan mereka," katanya.

Badrul Hisyam berkata selepas tong dram itu dibawa naik, anggota bomba kemudian memotong bahagian sisi dan tengah tong untuk melihat isi kandungan.

"Semasa potongan di bahagian sisi dibuat, keluar batu kelikir bersalut simen dan saya dapat lihat di dalam tong tersebut mengandungi guni dan campuran simen. Selepas itu, anggota bomba potong bahagian tengah tong itu dan ketika tong dibuka, saya lihat gigi manusia melalui lubang pada guni tersebut," katanya.

Saksi itu berkata seramai empat anggota forensik kemudian menarik guni tersebut namun, beliau tidak dapat melihat isi kandungan guni itu kerana ia tidak dibuka.

Terdahulu, Badrul Hisyam berkata beliau menemui Nimalan ketika ditugaskan di IPD Kuala Muda, Kedah pada 15 September 2015.

"Pada 15 September, saya ditugaskan ke Kedah. Sebaik tiba di Kedah, pegawai atasan Supt Shazali memaklumkan telah membuat satu tangkapan dan meminta saya ke IPD Kuala Muda dan menyoal siasat seorang tertuduh iaitu Nimalan," katanya.

Beliau kemudian diarahkan membawa Nimalan ke IPD Subang Jaya di mana tertuduh memberitahunya mengenai lokasi mayat Kevin Morais dibuang ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Enam lelaki - G. Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, Nimalan dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Anthony Kevin Morais , kes bunuh , SPRM

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan