Transit 18 Hari Di Lapangan Terbang Changi, Rakyat Malaysia Dipenjara

Diterbitkan: Sabtu, 17 September 2016 3:39 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Seorang penganggur warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap tiga daripada 31 dakwaan memalsukan pas masuk mudah alih untuk memasuki beberapa ruang rehat di Lapangan Terbang Changi, di sini.

Akhbar The Straits Times pada Sabtu melaporkan Raejali Buntut, yang tertidur di ruang rehat lapangan terbang itu sehingga terlepas penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur, memutuskan untuk terus berada di kawasan transit pelepasan pada 21 Ogos lepas.

Selama 18 hari iaitu sehingga Rabu lepas, lelaki itu terus berada di ruang transit dengan menggunakan 31 pas masuk mudah alih palsu untuk memasuki beberapa ruang rehat di terminal tersebut, lapor akhbar itu.

Menurut laporan itu mahkamah daerah pada Jumaat lepas diberitahu Raejali, 33, mendaftar masuk hampir tengah malam dan terus ke Plaza Premium Lounge di Terminal 1 (T1) menggunakan pas masuknya serta pas Priority yang dikeluarkan Citibank.

Mahkamah bagaimanapun tidak diberitahu sebab Raejali, bekas pengurus pembangunan perniagaan di Royale Consultant Management di sini, mahu terus berada di lapangan terbang tersebut.

Menurut laporan itu lagi, memandangkan pas masuknya telah tamat tempoh, Raejali memalsukan pas berkenaan dengan memuat turun imej pas masuk mudah alih yang dikeluarkan dua syarikat penerbangan - Cathay Pacific dan Singapore Airlines - daripada internet, menggunakan komputer ribanya.

Raejali kemudian memasukkan namanya, nombor palsu penerbangan serta destinasi palsu pada pas masuk mudah alih itu sebelum menghantarnya kembali ke telefon bimbitnya.

Laporan akhbar itu turut menyatakan Raejali menggunakan pas itu untuk masuk ke Plaza Premium Lounge, Sats Premier Lounge dan Dnata Lounge di T1 sebelum ke Ambassador Transit Lounge di Terminal 3.

Selasa lepas, menurut akhbar berkenaan, seorang petugas di Dnata Lounge menghubungi polis selepas curiga apabila Raejali cuba masuk ke premis yang sama untuk kali keempat.

Laporan itu juga menyebut hukuman Raejali itu berkuat kuasa dari tarikh remannya pada Jumaat lepas dan dia boleh dipenjara empat tahun dan dikenakan denda bagi setiap pertuduhan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Malaysia , Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan