Mahkamah Tetapkan 12 Oktober Sebutan Kes Lelaki Beri Sokongan Kepada Pengganas - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah Tetapkan 12 Oktober Sebutan Kes Lelaki Beri Sokongan Kepada Pengganas

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2016 3:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang menetapkan 12 Oktober untuk sebutan semula bagi memindahkan kes seorang lelaki yang didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan, Jun lepas, ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Haslinda A. Raof menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memaklumkan bahawa pihak pendakwaan belum menerima izin untuk memindahkan kes tertuduh, Mohd Asrol Mohamad, 29, ke Mahkamah Tinggi.

"Pohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan baharu sementara menunggu izin," katanya.

Pada 25 Julai lalu, Mohd Asrol yang tidak diwakili peguam didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan perbuatan berkenaan dianggap untuk menggugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam telefon bimbit jenis Samsung Note II.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Dagang, Ampang, Hulu Langat, di sini antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu. - BERNAMA
Tags / Kata Kunci: sebutan kes , pengganas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan