Rasuah: Dua Sahabat Dipenjara Lima Tahun, Denda RM35,000

Diterbitkan: Ahad, 4 September 2016 5:50 PM

Kedua-dua tertuduh, Ezli dan Mohd Amzar ketika didakwa membabitkan kesalahan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 2014.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 kerana didapati bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lepas.

Hakim Zainol Rashid Hussain menjatuhi hukuman itu terhadap Ezli Efifuddin Chik, 30, yang bertugas di Agensi Anti Dadah Kebangsaan Langkawi dan kakitangan sebuah agensi pelancongan, Mohd Amzar Hashimi, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi tiga pertuduhan pindaan di akhir kes pembelaan. 

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi pada 9 malam, 23 Jun 2013. 

Bagi pertuduhan pindaan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif, pada 9.10 malam di tempat dan tarikh yang sama. 

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, mereka didakwa menerima wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharif di Lot 91, 92 dan 93, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah pada 2.40 petang pada 2 Julai 2013.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiiz Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rasmadi Abdul Rashid dan Shariff Mat. 

Terdahulu, Rasmadi yang mewakili Ezli meminta agar hukuman minimum diberikan kepada anak guamnya yang masih belum berkahwin dan perlu menanggung ibu dan bapanya.

Shariff yang mewakili Mohd Amzar turut merayu agar hukuman minimum diberikan terhadap anak guamnya yang perlu menanggung tiga anak berusia 3 tahun, 2 tahun dan 3 bulan serta isterinya yang merupakan seorang mualaf warganegara Thailand. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar mahkamah dapat memberikan hukuman yang setimpal dan mencerminkan pendirian yang tegas terhadap kesalahan rasuah.

Hakim Zainol Rashid kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan dijalankan secara serentak serta denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga. 

Rasmadi kemudian memohon kedua-dua tertuduh diberikan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara. 

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi dan wang jaminan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000. --Bernama




 

Tags / Kata Kunci: Langkawi , Ezli Efifuddin Chik , SPRM

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan