Reman Pegawai Kanan Kerajaan Bergelar 'Datuk' Disambung - Berita Mahkamah | mStar

Reman Pegawai Kanan Kerajaan Bergelar 'Datuk' Disambung

Diterbitkan: Isnin, 22 Ogos 2016 12:15 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Reman terhadap seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar 'Datuk' bagi membantu siasatan kes rasuah yang tamat pada Isnin, disambung semula selama tiga hari.

Penolong Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi mengeluarkan perintah reman tersebut ke atas suspek lelaki yang berusia 56 tahun itu.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek bagi tempoh tujuh hari.

Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

Terdahulu suspek yang memakai kemeja-T berwarna jingga tertera 'Lokap SPRM' tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini pada 9.10 pagi dibawa pegawai SPRM.

Suspek kemudian dibawa keluar dari kompleks itu kira-kira sejam kemudian selepas prosedur sambung reman itu selesai.

Sebelum ini media melaporkan tiga penjawat awam - dua daripadanya masing-masing bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' - ditahan SPRM di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: reman , pegawai kanan kerajaan , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan