Syarikat Pemaju Didenda RM10,000 Gagal Selenggara Sistem Pembentungan

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2016 3:41 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pemaju didenda RM10,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, pada Isnin kerana tidak menyelenggara dan menjaga sistem pembetungan persendirian, tiga tahun lepas.

Majistret Iriane Isabelo menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Kepong Industrial Park (KIP) Sdn Bhd selepas Pengurus Pembangunan projek syarikat itu, Jason Chong mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

KIP Sdn Bhd didakwa tidak menyelenggara dan menjaga sistem pembetungan persendirian dan menyebabkan kacau ganggu atau memudaratkan kesihatan di stesen pam kumbahan persendirian bagi enam unit kedai pejabat tiga tingkat Lot 2840, Taman Perindustrian Kepong, Bandar Kepong, di sini, pada 20 Ogos 2013.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 65 (1) (b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 65 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.

Mengikut fakta kes, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menerima aduan daripada Indah Water Konsortium berhubung stesen pam kumbahan tidak berfungsi dan menyebabkan aliran kumbahan tersekat yang menyebabkan bau busuk.

Terdahulu, Chong yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan denda paling minimum dengan alasan syarikat itu telah pun menyelesaikan masalah itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPAN, Azjamaatuliza Farrah Ain Jamludin.

Tags / Kata Kunci: pembentungan , KIP Sdn Bhd , Jason Chong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan