Bekas Penolong Pengarah Didakwa Rasuah, Lulus Pesanan Kerajaan RM45,572

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2016 1:30 PM

Bekas Penolong Pengarah Pengurusan dan Kewangan, Perbadanan Stadium Melaka Nurulain Norazmi, 30, didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM45,572.30 antara 2014 dan 2015.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang bekas Penolong Pengarah Pengurusan dan Kewangan, Perbadanan Stadium Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan rasuah iaitu meluluskan empat pesanan kerajaan berjumlah RM45,572.30 antara September 2014 dan April 2015.

Nurulain Norazmi, 30, didakwa sebagai pegawai badan awam telah menggunakan kedudukannya untuk mengeluar dan meluluskan empat pesanan kerajaan itu kepada syarikat milik adiknya Syarikat Ah Boy Supplier and Services.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan untuk pembekalan peralatan Stadium Hang Tuah bernilai RM6,830 dan membekal peralatan dan cat Stadium Hang Jebat bernilai RM10,930 masing-masing pada September dan Disember 2014.

Dua lagi pertuduhan membabitkan membekal peralatan kebersihan Stadium Hang Jebat bernilai RM13,167.30 dan membekal peralatan dan kelengkapan mencuci Stadium Hang Jebat bernilai RM14,645 masing-masing pada April dan Januari 2015.

Nurulain didakwa melakukan semua kesalahan itu di Bahagian Pengurusan dan Kewangan, Perbadanan Stadium Melaka di sini.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang sedang mengandung enam bulan kini tidak bekerja selepas meletakkan jawatan pada Februari lepas selain mempunyai dua anak berumur lima dan enam tahun serta perlu menjaga ibu bapa mentua yang kurang sihat.

Hakim Norma Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September untuk sebutan semula kes.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan