Uber Tarik Balik Permohonan Jadi Pencelah Dalam Saman Terhadap SPAD

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 5:15 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Uber yang menyediakan perkhidmatan mengambil penumpang secara dalam talian, menarik balik permohonannya untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan 102 pemandu teksi terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Uber itu dengan kebebasan kepada Uber untuk memfailkan semula permohonan sama dengan alasan merit permohonan itu tidak didengar lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Ti Pei Si, peguam R. Kengadharan yang mewakili102 pemandu teksi itu berkata, mahkamah juga memerintahkan Uber membayar kos sebanyak RM3,500 kepada plaintif (102 pemandu teksi).

Katanya, mahkamah menetapkan 26 Sept untuk pendengaran permohonan SPAD untuk membatalkan saman yang difailkan sekumpulan pemandu teksi yang mendakwanya gagal mengambil tindakan proaktif dalam mengharamkan aktiviti dan operasi perkhidmatan teksi dalam talian.

Beliau berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam.

Pada 30 Dis 2015, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi LembahKlang Zailani Isausuludin, 51, bersama-sama 101 pemandu teksi memfailkan saman terhadap SPAD.

Mereka antara lain menuntut perintah deklarasi supaya SPAD mengharamkan operasi Uber, Grabcar dan Blacklane, yang merupakan perkhidmatan teksi  dalam talian kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Mereka memohon perintah injunksi agar SPAD tidak mengesahkan aktiviti dan operasi ketiga-tiga perkhidmatan teksi dalam talian itu selain mengeluarkan satu garis panduan dan pekeliling tertakluk kepada persetujuan terma-terma bagi mengharamkan operasi dan aktiviti perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane.     

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua pemandu teksi itu mendakwa operasi yang dijalankan Uber, Grabcar dan Blacklane telah memberi kesan buruk terhadap industri perkhidmatan teksi  tempatan kerana kadar tambang perkhidmatan teksi dalam talian itu jauh lebih rendah dari tambang teksi bermeter.     

Mereka mendakwa operasi untuk membanteras 'kereta sapu' haram yang dijalankan SPAD serta Jabatan Pengangkutan Jalan dilihat tidak berkesan, selagi aplikasi 'penyedia tempahan' oleh Uber, Grabcar dan Blacklane ini tidak disekatdan akan mengkucar-kacirkan industri  perkhidmatan teksi tempatan.     

Plantif juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil tindakan proaktif untuk mengharamkan ketiga-tiga perkhidmatan dalam talian itu, sehingga segala hak dan kepentingan plaintif dipinggirkan oleh SPAD.-Bernama

Tags / Kata Kunci: SPAD , Uber

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan