Pengarah ICU P Pinang Mengaku Tidak Bersalah Terbabit Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 26 Julai 2016 3:15 PM

Mohd Nor Rejab melambai tangan ketika menuju ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50 tiga tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Nor Rejab, 54, semasa bertugas sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Oktober 2013.

Baucar itu adalah bagi pembekalan 'Lab Coat' untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada pertengahan 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM24,656 melalui cek dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di Maybank Cawangan Penang Road di sini, pada 24 Oktober 2013.

Mohd Nor didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi tuduhan kedua itu.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam A. Ashok dan Abdul Fareed Gafoor.

Tags / Kata Kunci: ICU , Pulau Pinang

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan