Dua Pemandu Teksi Didenda Rosakkan Kereta Pemandu GrabCar - Berita Mahkamah | mStar

Dua Pemandu Teksi Didenda Rosakkan Kereta Pemandu GrabCar

Diterbitkan: Jumaat, 1 Julai 2016 4:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pemandu teksi masing-masing didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana merosakkan kereta pemandu GrabCar.

Majistret Adira Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Izwan Alias, 40, dan Mohamad Halim Sarbi, 48, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan bencana dengan merosakkan kereta milik N. Sashi Kumar, 36.

Kedua-dua pemandu teksi itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di lobi North Port Mid Valley, pada 2 pagi, 28 Jun lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Bagaimanapun, mereka yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dijatuhkan hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan mereka penanggung tunggal keluarga dan mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Pada 28 Jun lepas, media melaporkan kereta milik seorang pemandu GrabCar rosak teruk akibat diserang beberapa pemandu teksi ketika mengambil menumpang di pusat beli-belah Mid Valley.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata kejadian itu berpunca apabila pemandu GrabCar mengambil penumpang di kawasan pemandu teksi itu beroperasi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: GrabCar , denda , pemandu teksi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan