Kes KBS: Mahkamah Tetapkan Perbicaraan 31 Oktober Ini

Diterbitkan: Rabu, 29 Jun 2016 2:46 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Rabu menetapkan sembilan hari bermula 31 Oktober ini untuk perbicaraan kes Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tiga lagi termasuk sepasang suami isteri atas 191 pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16,623,000.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya.

Mahkamah juga menetapkan 8 September untuk pengurusan kes.

Pada 21 April lepas, Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arshad dan dua pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS Halmi Khalid, Abdul Gafar Abdurahiman dan isterinya Siti Rohanah Hussien, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Otman, 57, yang kini digantung tugas berdepan 64 pertuduhan, didakwa menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.

Abdul Gafar, 42, dan Siti Rohanah, 42, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan, didakwa memindahkan sejumlah wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Halmi, 35, yang berdepan satu pertuduhan didakwa memindahkan sejumlah wang RM900,000 ke dalam akaun bank milik Otman di RHB Bank Plaza Damas 3, Sri Hartamas di sini pada 10 Disember 2015 mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUAA 2001.

Tags / Kata Kunci: kes KBS , pengubahan wang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan