Juruaudio Didakwa Kendalikan Harta Pengganas

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 4:38 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang juruaudio dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengendalikan harta seorang pengganas militan Daesh, April lepas.

Mohamad Nazrul Nooh, 37, didakwa telah mengendalikan harta dengan memberikan perkhidmatan kewangan kepada seorang pengganas Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin dengan cara membenarkan kemasukan dan pemindahan wang daripada akaun Maybanknya (tertuduh).

Mohamad Nazrul didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 62-66, Jalan SS2/35, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 3.03 petang, 29 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta tersebut jika disabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

Mahkamah menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: juruaudio , Daesh , Mohamad Nazrul Nooh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan