PM Dapat Kebenaran Tangguh Perbicaraan Kes Fitnah Harakah Daily

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2016 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan di sini untuk penangguhan sementara perbicaraan kes saman fitnah terhadap Harakah Daily mengenai 1Malaysia Development Berhad.

Berikutan kebenaran penangguhan itu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak dapat meneruskan dengan perbicaraan saman berkenaan yang dijadual bermula pada 23 Jun.

Kebenaran itu diberikan oleh tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sementara menunggu selesainya dua rayuan berkaitan yang dikemukakan Najib.

Satu daripada rayuan itu ialah terhadap penolakan permohonan Najib oleh Mahkamah Tinggi pada 7 April untuk meminda pernyataan tuntutan beliau bagi memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan satu lagi penolakan oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mei terhadap permohonan Najib untuk kes saman itu diputuskan atas perkara undang-undang tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Kedua-dua rayuan ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan masing-masing pada 23 Jun dan 14 Julai.Kenyataan Apandi mengesahkan bahawa sejumlah RM2.6 billion yang didakwa diterima Najib, merupakan derma dan Najib tidak terlibat dalam kes SRC International sementara kenyataan SPRM mengesahkan bahawa RM2.6 billion itu bukan daripada 1MDB. 

Dua lagi anggota panel hakim Mahkamah Rayuan itu ialah Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Ahmadi Asnawi. 

Peguam Harakah Daily Mohd Faizi Che Abu tidak membantah terhadap permohonan Najib untuk penangguhan itu.

Peguam Najib Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata penangguhan perbicaraan itu dipohon kerana Mahkamah Rayuan belum lagi mendengar dua rayuan yang berkaitan.

Perdana menteri menyaman Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarah Harakahdaily Taufek Yahya terhadap artikel yang didakwa berunsur fitnah yang ditulis Rosli dan disiarkan pada 19 Februari 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata artikel itu menunjukkan beliau kononnya telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu bertujuan untuk mencemar reputasi beliau.

Beliau mendakwa bahawa Taufek gagal mengamalkan etika kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan terlebih dahulu sama ada kandungan artikel itu tepat, sebelum menyiarkannya.

Hadir bagi pihak Najib ialah peguam Nor Emelia Mohd Iszeham. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Perdana Menteri , Harakah Daily

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan